05 Oktober, 2011

Karangan SPM - Sekolah Bebas Dadah

Soalan:
Anda ingin menulis rencana yang bertajuk “Sekolah Bebas Dadah” bersempena dengan kempen antidadah peringkat sekolah. Tulis rencana tersebut dengan lengkap.

Jawapan:
Sekolah Bebas Dadah
Oleh Tan Si Yuen

Dadah merupakan masalah sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Dadah merupakan satu istilah khas kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta tingkah laku pengguna apabila digunakan. Maka, pihak kerajaan telah bercadang untuk memulakan pencegahan  dari awal lagi. Langkah ini dimulakan dengan menjadikan pelajar sebagai sasarannya. Oleh itu, usaha menjadikan sekolah supaya bebas daripada dadah merupakan langkah yang baik kerana jika kita hendak mendidik biarlah bermula dari awal bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
 
      Salah satu langkah yang perlu diambil  ialah mengadakan program antidadah pada peringkat sekolah. Banyak aktiviti yang dapat dilakukan  untuk menanamkan sifat benci akan dadah seperti ceramah, taklimat, pameran tentang jenis dadah yang berbahaya dan pertandingan melukis poster. Program seperti ini sudah tentu akan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar tentang bahayanya dadah .Sebagai contoh, sebelum memulakan pelajaran, setiap guru akan menceritakan kesan-kesan buruk yang diakibatkan oleh dadah. Tegasnya, program seperti ini akan meningkatkan kesedaran dan kos bagi menyediakan kemudahan-kemudahan rawatan dan pemulihan dadah dapat dikurangkan.

    Selain itu, kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) antidadah di sekolah juga harus ditubuhkan. Mereka yang menjadi ahli dalam kelab ini haruslah memainkan peranan mereka dengan memberikan nasihat dan motivasi kepada pelajar yang terlibat dalam kegiatan merokok. Hal ini dikatakan demikian kerana ketagihan rokok  dan perasaan ingin mencuba sesuatu akan mendorong mereka mengambil dadah Berdasarkan kajian oleh ahli psikologi, para remaja lebih mudah menerima nasihat dan pandangan daripada rakan sebaya mereka.. Dengan adanya pasukan seperti  ini, kita dapat melakukan sesuatu dalam usaha untuk menyekat masyarakat terutamanya golongan pelajar   terlibat dalam gejala penagihan dadah..

     Bukan itu sahaja, program ujian urin perlu diwujudkan di sekolah-sekolah. Melalui cara ini, pihak polis dapat membantu pihak sekolah mengesan kes-kes berisiko dadah di sekolah dan membantu pelajar yang terlibat bebas daripada dadah. Apabila seseorang itu dikenal pasti terlibat dalam penagihan dadah, pelajar tersebut hendaklah dimasukkan terus ke pusat pemulihan untuk pencegahan awal. Sebagai contoh, mana-mana pelajar yang disyaki menagih dadah atau ketagihan rokok yang melampau hendaklah dipanggil untuk ujian urin. Program seperti ini sudah tentu akan meningkatkan kesedaran pelajar supaya menjauhi amalan merokok dan juga gejala penagihan dadah.

  Seterusnya, pihak sekolah hendaklah mengadakan Kempen Tak Nak sepanjang tahun. Kempen ini penting kerana remaja perlu diingatkan dari semasa ke semasa tentang gejala penagihan dadah bermula dengan aktiviti merokok. Kempen ini hendaklah dijalankan dengan menampal poster di tempat yang menjadi tumpuan  remaja di sekolah, papan-pan iklan, dan sebagainya. Sebagai contoh, setiap sekolah mestilah mempunyai sekurang-kurangnya dua papan iklan yang tertulis Tak Nak Merokok” di kawasan sekolah. Melalui cara ini, remaja akan sentiasa ingat bahawa aktiviti merokok merupakan jalan atau laluan utama mereka untuk melibatkan diri dalam gejala penagihan dadah.
.
            Sebagai kesimpulannya, semua pelajar memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah sosial ini. Kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk membasmi gejala penagihan dadah dalam kalangan remaja. Kata-kata hikmat “cegah sebelum parah” harus ada pada setiap warga sekolah bagi merealisasikan sekolah bebas daripada dadah Tegasnya, pendidikan pencegahan dadah merupakan strategi utama dalam program pencegahan dadah pada peringkat awal. Oleh hal yang demikian, tidak mustahil matlamat kita, iaitu sekolah bebas daripada  dadah pada tahun 2012 akan terlaksana.

10 ulasan: